Kamis, 15 Desember 2011

Bahaya Hadist Dhaif dan Maudhu'


Di antara bencana besar yang menimpa kaum Muslimin sejak abad-abad pertama ialah tersebar luasnya hadis-hadis Dha’if (lemah) dan Maudhu’ (palsu) di kalangan mereka. Tidak ada yang terkecuali temasuklah kalangan ulama kecuali segelintir yang dikehendaki Allah, di antaranya para imam hadis dan Nuqqaad (Para Pengkaji hadis) seperti Imam al-Bukhari, Ahmad, Ibn Ma’in, Abu Hatim ar-Razy dan ulama seperti mereka.
Penyebaran meluas hadis dhaif dan maudhu’ tersebut mengakibatkan banyak kesan negatif, di antaranya ada yang berkaitan masalah-masalah aqidah yang bersifat ghaib dan ada juga yang berkaitan perkara-perkara Tasyri’ (Syari’at).
Adalah hikmah Allah Ta’ala Yang Maha Mengetahui, bahawa Dia tidak membiarkan hadis-hadis yang direka oleh orang-orang yang benci terhadap agama ini merebak ke tubuh kaum Muslimin tanpa mengutus orang yang akan mendedahkan hakikat sebenarnya dan menjelaskan kepada manusia kecacatan-kecacatannya . Mereka itulah para ulama Ahli hadis dan pembawa panji-panji sunnah Nabawiyyah yang didoakan Rasullullah dalam sabdanya, “Semoga Allah menganugerahi nikmat seseorang yang mendengarkan perkataanku lalu mencernanya, menghafal dan menyampaikannya. Betapa banyak orang yang membawa ilmu tetapi tidak lebih faqih (untuk dapat menghafal dan menyampaikannya) dari orang yang dia sampaikan kepadanya (kerana ia mampu menggali dalil sehingga lebih faqih darinya).” (HR.Abu Daud dan at-Turmudzi yang mengatakannya shahih).
Para imam tersebut –semoga Allah menganugerahkan kebaikan kepada mereka – telah menjelaskan kedudukan kebanyakan hadis-hadis tersebut dari segi kesahihan, kelemahan atau pun kepalsuannya dan telah membuat asas-asas yang kukuh dan kaedah-kaedah yang mantap di mana siapa saja yang menekuni dan mempelajarinya secara mendalam nescaya akan dapat mengetahui kualiti dan kedudukan setiap hadis walaupun mereka (para imam tersebut) tidak memberikan penilaian ke atas hadis-hadis tersebut. Itulah suatu ilmu yang dikenali sebagai ilmu Ushul Hadis atau Llmu Mushthalah Hadis.
Para ulama generasi terakhir (al-Muta`akkhirin) telah mengarang beberapa buku yang khusus untuk menyenaraikan hadis-hadis dan menjelaskan kedudukannya , di antaranya yang paling masyhur dan luas bahasannya adalah kitab al-Maqaashid al-Hasanah Fii Bayaan Katsiir Min al-Ahaadiits al-Musytahirah ‘Ala al-Alsinah karya al-Hafizh as-Sakhawy. Demikian juga buku seumpamanya seperti buku-bukuTakhriijaat (untuk mengeluarkan jalur (sanad) hadis dan kualitinya) yang menjelaskan kedudukan hadis-hadis yang terdapat di dalam kitab-kitab yang dikarang oleh Ahli Hadis (Ulama hadis) dan kitab-kitab yang berisi hadis-hadis yang tidak ada asalnya seperti buku Nashb ar-Raayah Li Ahaadiits al-Bidaayah karya al-Hafizh az-Zaila’ii, al-Mugny ‘An Haml al-Asfaar Fii al-Asfaar Fii Takhriij Maa Fii Ihyaa` Min al-Akhbaar karya al-Hafizh al-‘Iraqi, at-Talkhiish al-Habiir Fii Takhriij Ahaadiits ar-Raafi’iy al-Kabiir karya al-Hafizh Ibn Hajar al-‘Asqalani, Takhriij Ahaadiits al-Kasysyaaf karya Ibn Hajar juga dan Takhriij Ahaadiits asy-Syifaa` karya Imam as-Suyuthi, semua buku tersebut sudah dicetak dan diterbitkan.
Sekalipun para imam tersebut –semoga Allah menggandakan kebaikan kepada mereka- telah meratakan jalan kepada generasi setelah mereka, baik dari kalangan para ulama ataupun para penuntut hingga mereka mengetahui kualiti setiap hadis melalui buku-buku tersebut, akan tetapi –amat malang sekali- kami perhatikan mereka sebaliknya enggan menelaah buku-buku tersebut. Akibatnya mereka jahil terhadap kedudukan hadis-hadis yang telah mereka hafal dari guru-guru mereka atau hadis-hadis yang mereka baca dari buku-buku yang tidak menitik beratkan kesahihan sesuatu hadis .Oleh itu , kita sering mendengar ceramah dari sebahagian Mursyid (penyuluh), atau ceramah dari seorang ustaz atau khuthbah seorang khathib yang meriwayatkan hadis-hadis dha’if dan maudhu’ tersebut, dan ini amat berbahaya kerana dikhuatiri mereka semua akan terkena ancaman sabda beliau s.a.w., yang berbunyi, “Barangsiapa yang telah berdusta terhadapku secara sengaja, maka hendaklah dia mempersiapkan tempat duduknya di dalam neraka.” (Hadis Sahih Mutawatir)
Walau pun mereka tidak berdusta dengan sengaja, namun hakikatnya mereka tetap berdosa kerana telah meriwayatkan hadis-hadis dari sumber yang mereka yakini terdapat hadis yang dha’if atau pun hadis palsu. Mengenai hal ini, terdapat isyarat dari hadis Rasulullah yang bermaksud, “Cukuplah seseorang itu berdusta manakala ia menceritakan semua apa yang didengarnya (tanpa disaring lagi-pen.,).” (HR.Muslim) dan suatu hadis lain dari riwayat Abu Hurairah.
Telah diriwayatkan bahawa Imam Malik pernah berkata, “Ketahuilah bahwa tidaklah selamat seorang yang menceritakan semua apa yang didengarnya… ia bukan imam bilamana menceritakan semua apa yang didengarnya.”
Imam Ibn Hibban berkata di dalam kitab Shahihnya, “Pasal: Mengenai dipastikannya masuk neraka, orang yang menisbatkan sesuatu kepada al-Mushthafa, Rasulullah Shallallahu 'alayhi wasallam, padahal ia tidak mengetahui kesahihannya,” setelah itu, beliau mengetengahkan hadis Abu Hurairah dengan sanadnya secara marfu’, “Barangsiapa yang berkata dengan mengatasnamakanku padahal aku tidak pernah mengatakannya, maka hendaklah ia mempersiapkan tempat duduknya di dalam neraka.” Sanad hadis ini hasan dan makna asalnya terdapat di dalam kitab ash-Shahiihain dan kitab-kitab muktabar yang lain.
Selanjutnya, Ibn Hibban berkata, “Pembahasan mengenai hadis yang menunjukkan kesahihan hadis-hadis yang kami isyaratkan pada bab terdahulu,” kemudian beliau mengetengahkan hadis dari Samurah bin Jundub dengan sanadnya, dia berkata, Rasulullah Shallallahu 'alayhi wasallam, bersabda,
“Barangsiapa yang membicarakan suatu pembicaraan mengenaiku (membacakan satu hadis mengenaiku) di mana ia terlihat berdusta, maka ia adalah salah seorang dari para pendusta.”
(Hadis ini sahih, dikeluarkan oleh Imam Muslim di dalam mukaddimahnya dari hadis Samurah dan al-Mughirah bin Syu’bah secara bersama-sama). Ibn Hibban berkata, “Ini adalah hadis yang masyhur.” Kemudian dia berkata selanjutnya, “Pembahasan mengenai hadis kedua yang menunjukkan sahihnya pendapat kami,” lalu dia mengemukakan hadis Abu Hurairah yang pertama di atas.
Dari apa yang telah kami sampaikan di atas, jelaslah bagi kita bahawa tidak boleh menyebarkan hadis-hadis dan meriwayatkannya tanpa terlebih dahulu melakukan Tatsabbut (penilaian) mengenai kesahihannya sebab orang yang menyebarkan hadis tanpa menilainya bermakna telah melakukan pendustaan terhadap Rasulullah. Sabdanya Shallallahu 'alayhi wasallam, “Sesungguhnya berdusta terhadapku bukanlah berdusta terhadap salah seorang di antara kamu; barangsiapa yang berdusta terhadapku secara sengaja, maka hendaklah dia mempersiapkan tempat duduknya di dalami neraka.” (HR.Muslim), wallahu a’lam.
(Mukaddimah Syaikh al-Albani di dalam bukunya Silsilah al-Ahaadiits adl-Dla’iifah Wa al-Mawdluu’ah Wa Atsaruha as-Sayyi` Fi al-Ummah, jld.I, h.47-51 dengan sedikit perubahan dan pengurangan)

0 komentar:

Posting Komentar